Loyal Followers

Wednesday, March 17, 2010

Artikel 153 - menyingkap fakta-fakta sejarah (bahagian 1)*

*The English version of this article may be viewed at this blog and also at the Centre for Policy Initiatives' site.

Di dalam rencana saya, Visiting the Malay "Rights", (versi Bahasa Malaysia boleh dibaca di sini ) saya telah mengupas peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam artikel 153, Perlembagaan Persekutuan. Saya telah nyatakan bahawa mengikut peruntukan-peruntukan di dalam  artikel 153, orang-orang Melayu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa "hak" istimewa.

Apa yang wujud hanyalah "kedudukan" istimewa orang-orang Melayu dan juga kaum pribumi Sabah dan Sarawak. Secara 'amnya, kedudukan istimewa itu tidak memberikan apa-apa hak yang diiktiraf undang-undang kepada orang-oang Melayu.

Khususnya, apa  yang terdapat di dalam artikel 153 tersebut  ialah kuasa yang diberikan kepada Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memastikan tempat-tempat di pusat pengajian tinggi dan perkhidmatan awam direzabkan untuk orang-orang Melayu dan juga kaum pribumi Sabah dan Sarawak sepertimana ataupun setakat mana yang Baginda dapati munasabah.

Tambahan kepada itu, Baginda juga diberi kuasa untuk memastikan satu kuota untuk orang-orang Melayu dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak di dalam pemberian biasiswa ataupun apa-apa permit atau lesen yang diperlukan di dalam apa-apa perniagaan. Kuasa ini juga dilaksanakan oleh Baginda mengikut apa yang difikirkan munasabah oleh Baginda.

Beberapa perkara asas perlu diteliti dan diingati mengenai peruntukan-peruntukan di dalam artikel 153 tersebut, iaitu:

  • ianya tidak memberikan apa-apa hak kepada orang-orang Melayu ataupun kaum pribumi Sabah dan Sarawak. Misalannya, artikel 153 tidak menyatakan bahawa orang-orang Melayu berhak kepada 30% ataupun 50% biasiswa-biasiswa yang diberikan oleh kerajaan setiap tahun;
  • keistimewaan yang diberikan bukan sahaja kepada orang-orang Melayu tetapi juga kepada kaum pribumi Sabah dan Sarawak;
  • kuasa yang diberikan adalah kepada Baginda Yang di Pertuan Agong;
  • di dalam melaksanakan kuasa tersebut, Baginda hendaklah menentukan apa yang munasabah. Itu  bermakna  kuasa  tersebut tidak  boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya.

Suntikan elemen "munasabah" di dalam artikel 153 itu sudah tentunya membawa unsur-unsur dinamis dari segi perlaksanaan kuasa yang ada di dalam artikel tersebut. Ini adalah kerana apa yang munasabah pada tahun 1969, umpamanya, mungkin tidak lagi munasabah pada tahun 2010 dan sebagainya.

Satu titik permulaan bagi menyelesaikan kemelut rasa tidak puas hati di semua pihak (samada pihak Melayu ataupun yang bukan Melayu) mengenai artikel 153 ini saya rasa ialah satu perbincangan oleh semua pihak secara rasional untuk menentukan apakah yang boleh dianggap sebagai "munasabah" pada ketika ini.

Selepas itu saya rasa satu perancangan teliti dapat dibuat untuk melaksanakan apa yang termaktub di dalam artikel 153 dengan memasukkan apa-apa formula bagi menjamin  unsur "kemunasabahan" tersebut di masa akan datang.

Dengan cara tersebut, tidak perlulah kita semua terpekik terlolong, menghunus keris dan membuka tapak empat untuk bersilat di sana-sini setiap kali keraguan timbul mengenai imbangan ekonomi antara-kaum yang tidak sempurna di negara kita.

Negara kita ini penuh dengan cerdik-pandai dan para ekonomis yang handal-handal belaka. Dr Jomo Sundram umpamanya, pernah menjadi penasihat ekonomi kepada Bangsa-bangsa Bersatu. Malah kita telah ada angkasawan sendiri. Kapal selam pun kita telah miliki. Mengapa kita tidak gunakan sahaja kepandaian dan kepakaran yang kita ada  untuk mencari penyelesaian?

Sejak kebelakangan ini, isu artikel 153 telah banyak dipersoalkan, malah di putar-belitkan oleh mereka yang seolah-olah tidak tahu menahu mengenai peruntukan-peruntukan di dalam  artikel 153 ini. Retorika yand saban hari ditayangkan oleh media massa adalah hambar dari segi ilmiah mahupun kebenaran. Malah bau politik murahan dan parokial yang datang dari retorika tersebut terlampau kuat dan hampir memualkan.

Salah satu kenyataan yang selalu digembar-gemburkan ialah bahawa artikel 153 ini tidak boleh dipinda. Pada pendapat saya ini adalah amat mengelirukan. Malah, kenyataan ini menunjukkan kejahilan kita mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya, mengikut artikel 159 Perlembagaan Persekutuan, artikel 153 sememangnya boleh dipinda dengan syarat bahawa pindaan itu disokong oleh dua pertiga dari ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada bacaan kedua dan ketiga. Sekiranya sokongan tersebut diperolehi, pindaan itu hanya akan berkuatkuasa selepas ianya  di setujui oleh Majlis Raja-raja.

Jadi, sekiranya ada pihak-pihak yang mengatakan bahawa artikel 153 tidak boleh dipinda, maka saya ingin sangat melihat bukti yang sebaliknya.

Kita orang-orang Malaysia sepatutnya lebih peka dengan usaha menimba pengetahuan kerana dengan pengetahuan sahajalah kita akan dapati kebenaran. Jangan kita telan bulat-bulat apa-apa yang diperkatakan orang. Dalam hal artikel 153 ini, sebenarnya banyak fakta yang boleh kita dapati daripada himpunan sejarah kita.

Mari kita melawat sejenak sejarah kita mengenai artikel 153 ini.

Adalah diketahui umum bahawa satu suruhanjaya telah diwujudkan untuk menggubal perlembagaan kita. Ianya dikenali sebagai Suruhanjaya Reid (bersempena dengan nama ketua suruhanjaya tersebut, iaitu seorang hakim Inggeris yang terkenal, Lord Reid).

Salah satu tugasan yang diberikan kepada Suruhanjaya Reid semasa menggubal Perlembagaan Persekutuan ialah untuk memastikan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dipelihara. Di dalam repotnya dinyatakan (di dalam bahasa asal):

"Our terms of reference require that provision should be made in the Constitution for the ‘safeguarding of the special position of the Malays and the legitimate interests of other Communities’."

Namun demikian, suruhanjaya tersebut mendapati bahawa adalah sukar untuk memberikan keistimewaan khas kepada mana-mana kaum secara kekal kerana keistimewaan khas yang sebegitu akan bertentangan dengan prinsip persamaan di mata undang-undang. Suruhanjaya Reid melaporkan:

"We found it difficult, therefore, to reconcile the terms of reference if the protection of the special position of the Malays signified the granting of special privileges, permanently, to one community only and not to the others."

Malah, pihak Parti Perikatan, yang diketuai Tunku Abdul Rahman juga mahukan Malaya yang merdeka memberikan hak, keistimewaan dan peluang yang sama rata kepada semua rakyatnya dengan tidak mengambil kira kaum ataupun ugama. Tambahan pula, Majlis Raja-raja pula berharap agar konsep komunalisma (perkauman) dikeluarkan daripada ruang politik dan ekonomi kita di suatu hari kelak. Lapur Suruhanjaya Reid mengenai perkara ini:

"The difficulty of giving one community a permanent advantage over the others was realised by the Alliance Party, representatives of which, led by the Chief Minister, submitted that in an independent Malaya all nationals should be accorded equal rights, privileges and opportunities and there must not be discrimination on grounds of race and creed...’ The same view was expressed by their Highnesses in their memorandum, in which they said that they ‘look forward to a time not too remote when it will become possible to eliminate Communalism as a force in the political and economic life of the country’."

Begitulah niat baik dan harapan nenek moyang kita yang sama-sama berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Inggeris. Perlembagaan Persekutuan pula digubal dengan mengambil kira niat dan harapan tersebut.

Namun Suruhanjaya Reid mempunyai satu lagi masalah. Apakah kedudukan istimewa orang-orang Melayu yang hendak dipelihara itu? Di manakah terdapatnya kedudukan istimewa itu? Apakah garis panduan yang boleh mereka pakai untuk menentu dan menetapkan kedudukan istimewa itu?

Pencarian mereka berakhir apabila mereka dapati bahawa orang-orang Melayu sememangnya mempunyai kedudukan istimewa yang dipelihara sejak mula orang-orang Inggeris datang menjajah Tanah Melayu. Kedudukan istimewa itu sememangnya telah diakui oleh pihak Inggeris di dalam perjanjian-perjanjian asal dengan Raja-raja Melayu. Malah, kedudukan istimewa itu telahpun diberi pengiktirafan di dalam klausa 19 (1) (d), Perjanjian Persekutuan Malaya 1948. Lapuran mengenai perkara ini adalah seperti berikut:

"When we came to determine what is ‘the special position of the Malays’ we found that as a result of the original treaties with the Malay States, reaffirmed from time to time, the special position of the Malays has always been recognised. This recognition was continued by the provisions of cl 19(1)(d) of the Federation Agreement, 1948, which made the High Commissioner responsible for safeguarding the special position of the Malays and the legitimate interests of other communities."

Mereka dapati orang-orang Melayu telah sentiasa mempunyai kedudukan istimewa di dalam 4 perkara:

  • tanah rezab,
  • kuota di dalam perkhidmatan awam,
  • kuota permit dan lesen berniaga, dan
  • kuota biasiswa dan pendidikan.

Semasa membuat lawatan ke Tanah Melayu dan mendengar pendapat-pendapat belbagai pihak sebelum menggubal perlembagaan kita, Suruhanjaya Reid mendapati bahawa tiada sebarang bantahan dari mana-mana pihak sekiranya kedudukan istimewa tersebut diteruskan seketika waktu. Walaubagaimanapun terdapat pihak yang membantah sekiranya ianya diteruskan untuk satu jangkamasa yang lama atau secara kekal.

Setelah mengkaji kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan fakta bahawa orang-orang Melayu pada masa itu jauh ketinggalan di belakang kaum-kaum lain dari segi pencapaian ekonomi mahupun pencapaian akademik, maka Suruhanjaya Reid pun memutuskan untuk mengekalkan kedudukan istimewa orang-orang Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang akan mereka gubal.

Itulah sebenarnya latarbelakang dan rasional kepada artikel 153 sepertimana yang ada pada masa sekarang. Persoalannya, adakah benar bahawa peruntukan di dalam artikel 153 itu diniatkan untuk menjadi kekal sehingga hari kiamat?

Apakah yang diperkatakan di Parlimen United Kingdom mengenainya? Apakah yang diharapkan oleh Bapa Kemerdekaan kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman?

Di bahagian 2, kita akan kupaskan perkara-perkara itu dengan lebih lanjut.

3 comments:

Anonymous said...

We must all pray for Ong Tee Keat to win the MCA Presidency. He was the one who generously offered the Metro Tabernacle to use the MCA Hall for their Sunday Worship when other Christian Churches did not do the same. Only Ong Tee Keat and MCA cares for Christians. Every Christian must support and vote for MCA
The Sunday speaker was the senior pastor of the church (Metro Tabernacle) and after the communal prayer, he began with the absolute duty of the congregation to pray, protect, persevere and even pursue the truth. Wasn't it the MCA that opened its doors to the Metro Tabernacle church after it was torched?
And was it not the president, Ong Tee Keat who graciously opened the doors to the stricken church.
By that very act alone, the sermon went on, "all Christians, and right and fair minded individuals have a moral and spiritual obligation to hold this man fast in prayers for the upcoming party elections, which many say is a tough uphill task for the reigning president."
Read more here http://justice4otk.blogspot.com/2010/03/can-you-believe-what-this-oxymoronic.html#comments

微笑每一天 said...

haha~ funny! thank you for your share~ ........................................

eiling lim said...

sememangnya masih banyak rakyat malaysia yang tidak peka terhadap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. oleh itu, kita dimanipulasi oleh mereka yang mementingkan hak dan kekayaan untuk sendiri. Tiba masanya untuk kita bangun and menegakkan keadilan untuk semua kaum rakyat. 1 malaysia kononnya...